Akademi Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Rasuah (AMLAC) memperkenalkan Program Profesional Pengurusan Anti Rasuah pertama di negara ini dengan kemasukan pertama pada Sabtu lalu.
Presiden AMLAC, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, program dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space dan London Examination Board itu memberi tumpuan kepada pengurusan anti rasuah di syarikat-syarikat swasta, lapor Berita Harian.
“Saya percaya program profesional diploma ini merupakan program yang pertama dalam negara ini yang mengkhususkan kepada pengurusan anti rasuah.
“Program ini untuk memastikan keperluan dibawah Seksyen 17A Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipatuhi oleh semua syarikat korporat yang terlibat di dalam negara kita,” katanya ketika ditemui media, Sabtu lalu.
Tambah bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu, penubuhan AMLAC merupakan cetusan idea beliau sendiri susulan penggubalan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 untuk memastikan peruntukan liabiliti korporat dipatuhi dalam pengurusan syarikat swasta.
“Dalam erti kata yang mudah apabila berlakunya sebarang kes rasuah oleh pekerja syarikat maka pengarah syarikat atau pengurusan boleh dituduh di mahkamah. Peruntukan ini yang dikatakan bahawa liabiliti korporat kepada apa sahaja kesalahan rasuah yang dilaksanakan oleh pekerja mereka.
“Kecuali syarikat tersebut mempunyai adequate measure (prosedur yang mencukupi) yang dikeluarkan tatacara dan garis panduan oleh Jabatan Perdana Menteri,” jelas beliau.
Bagaimanapun beliau tidak menafikan bahawa terdapat juga syarikat yang tidak memahami sepenuhnya dari sudut undang-undang pelaksanaan pengurusan anti rasuah di syarikat korporat masing-masing.
Justeru, Dzulkifli berkata, beliau terpanggil untuk bukan hanya setakat yang ada dalam kontek negara buat masa ini (peringkat sijil) tetapi mahu bergerak ke hadapan untuk menyediakan pegawai-pegawai (SPRM) yang mempunyai kualifikasi.
“Alhamdulillah profesional diploma yang kita tawar ini bukan hanya oleh universti tempatan malahan ditauliahkan oleh London Examination Board iaitu satu entiti yang dihormati di peringkat antarabangsa.
“Jadi inilah ke arah kita nak memastikan pihak korporat itu sendiri membawa inisiatif untuk memastikan syarikat-syarikat ini tidak terlibat ataupun mengambil inisiatif sendiri untuk memastikan mereka telah mematuhi apa sahaja kehendak yang hendak diperuntukkan dibawah undang-undang sendiri,” katanya.
Dzulkifli juga berharap agar program ini dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi madani yang berteraskan bebas rasuah.














































Discussion about this post