Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan bahawa baginda tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak termasuk dari kerajaan mahupun pembangkang yang mahu mengganggu kestabilan politik.
Titah baginda, semua pihak mesti menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.
“Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang,” titahnya pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, hari ini.
Dalam pada itu, baginda bertitah walaupun selepas 60 tahun Malaysia dibentuk, gabungan perpaduan antara kaum masih tidak sempurna.
“Ini kerana masih ada generasi hari ni gagal menguasai bahasa Melayu dan budaya hidup kaum lain.
“Oleh itu, saya seru kerajaan rangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.
“Pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika kita hendak lahirkan generasi yang bersatu padu dan saling memahami, kena bentuk mereka sejak dari kecil,” titahnya.
Justeru, baginda menyeru semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif membabitkan raja, kaum dan agama.
“Perlembagaan mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi. Namun begitu, agama lain boleh diamalkan dengan aman.
“Oleh itu, jangan ada mana-mana pihak cuba gugat asas Perlembagaan ini,” titah Sultan Ibrahim.
















































Discussion about this post