Ahli Parlimen kerajaan akan memberi komitmen tinggi pada persidangan Dewan Rakyat kali ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, komitmen tersebut termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua ahli Parlimen kerajaan untuk sesi perbahasan Titah Diraja yang dijadualkan bermula esok.
“Kami akan memberikan komitmen yang tinggi pada sidang Parlimen kali ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen.
Persidangan kali ini dijadual berlangsung selama 19 hari dengan tumpuan adalah perbahasan Titah Diraja oleh Ahli Parlimen bermula 27 Februari hingga 7 Mac, diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.
Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang (RUU) antaranya RUU Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).
Selain itu, RUU bagi merealisasikan penubuhan agensi tunggal sempadan negara (SBA) juga dijangka dibentang di Parlimen pada suku pertama tahun ini.
Penubuhan SBA seperti diumum Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2024 adalah sebahagian inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.
Minggu pertama sidang Dewan Rakyat juga dijangka membabitkan prosiding berhubung pengurusan pelaksanaan projek Sistem Tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.
















































Discussion about this post