Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau mencadangkan agar kerajaan menjadikan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) menjadi sebuah badan berkanun persekutuan sebagai langkah jangka panjang.
“Saya secara peribadi ingin mencadangkan supaya Mitra dijadikan Badan Kanun Persekutuan di mana ia akan melapor kepada Lembaga Mitra dan seterusnya kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) secara langsung.
“Saya juga berpendapat cadangan Badan Berkanun Mitra akan meningkatkan kredibiliti dan ketelusan dalam mentadbir peruntukan yang diberikan kepada Mitra memandangkan laporan kewangan tahunan perlu dibentangkan di Jemaah Menteri dan seterusnya akan dibentangkan di Parlimen.
“Segala operasi Mitra akan dipantau oleh Lembaga Mitra yang akan merangkumi pemimpin-pemimpin terkemuka di kalangan kaum India,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Mitra telah dipindahkan daripada Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Perpaduan.
Pengumuman itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi daripada beberapa pemimpin masyarakat India.
Ganabatirau turut mempersoal sama ada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri akan mengalami nasib sama seperti Mitra.
“Apakah bezanya di antara Teraju dengan Mitra sedangkan kedua-dua agensi adalah untuk menaiktaraf sosio-ekonomi kaum masing-masing?
“Adakah kita meletakkan Teraju di bawah Kementerian Perpaduan Negara?”















































Discussion about this post