Rombakan kabinat Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tetap terpelihara di sebalik rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata malah kepentingan Melayu-Bumiputera juga tidak akan sesekali diperlekehkan oleh mana-mana pihak.
Tegas beliau, selagi Umno dalam Kerajaan Perpaduan dan semua parti hormati perjanjian dimeterai, dua perkara tersebut akan kekal dipertahankan.
“Pengalaman mana-mana negara di dunia, sentimen yang menyentuh emosi seperti isu agama dan bangsa ini hanyalah sentimen yang mudah dimainkan apabila perut rakyat terikat dan keadaan ekonomi melarat.
“Jika kerajaan dapat pastikan makanan atas meja rakyat mencukupi dan poket rakyat sentiasa terisi, insyaAllah sentimen murahan yang tidak berasas mudah sahaja diketepi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Asyraf Wajdi turut memberi tiga fokus yang perlu diberi keutamaan oleh anggota Kabinet baharu iaitu memulihkan ekonomi negara, tingkatkan pendapatan rakyat serta memastikan harga barang terkawal.
Dalam hantaran berasingan, Asyraf Wajdi berkata Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengadakan pertemuan sebelum Mesyuarat Kabinet dengan semua menteri dan timbalan menteri BN.
Katanya, antara amanat penting adalah supaya semua dapat melaksanakan amanah dengan bersungguh-sungguh dan memastikan semua isu rakyat ditangani dengan sebaiknya.
“Hanya dengan prestasi kerja yang cemerlang mampu memastikan kerajaan Perpaduan akan mendapat kepercayaan rakyat,” katanya.
















































Discussion about this post