Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di peringkat dasar.
RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti ahli melalui undian suara.
Ia versi ketiga dibentangkan di Dewan Rakyat selepas beberapa pindaan sebelum ini.
Ini termasuk menggantikan klausa melarang orang yang lahir selepas tahun 2007 melakukan aktiviti merokok, dengan terma orang belum dewasa (OBD).
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa semasa menggulung RUU itu berkata, beliau memahami pandangan dan kegusaran berkenaan pengguguran klausa yang disebut Generational End Game (GEG).
“Penggguguran ini adalah keputusan secara kolektif, tanggungjawab bersama kerajaan, merujuk kepada pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Ada isu ketidaksamarataan atau diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan GEG, yang beri layanan berbeza seorang lahir sebelum 1 Januari 2007, dan lahir selepas itu.
“Oleh itu AGC berpandangan peruntukan ini boleh dicabar di mahkamah, bercanggah perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sebelum ini Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata, peruntukan berkenaan GEG dalam RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, boleh dicabar di mahkamah.
Susulan itu, Dr Zaliha menarik semula RUU tersebut pada 28 November lalu sebelum versi baharu dibentangkan untuk bacaan kali pertama.
Dalam penggulungannya, beliau berkata, KKM telah membuat tindakan susulan berhubung kenyataan AGC.
Ini kerana katanya, ia dianggap sangat penting untuk menutup kelompangan dan memastikan kawal selia komprehensif terhadap semua produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape, dan menjadi keutamaan untuk diluluskan segera.
















































Discussion about this post