Beliau memaklumkan perkara itu ketika berucap pada perhimpunan agung tahunan Bersatu di Shah Alam hari ini.
“Saya tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti tahun hadapan,” katanya.
Perwakilan bagaimanapun menjerit meminta Muhyiddin menarik balik hasratnya itu.
Muhyiddin berkata sudah tiba masanya untuk beliau mewariskan kepimpinan Bersatu kepada kepimpinan yang baru.
“Maka, pada hari Jumaat yang mulia dan penuh barakah ini, saya ingin mengumumkan bahawa masa untuk saya mewariskan kepimpinan parti kepada barisan kepimpinan yang baru telah pun tiba.
“Untuk itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan parti yang akan diadakan sebelum hujung tahun hadapan yang tarikhnya akan ditentukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.
“Keputusan saya ini dibuat untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis Bersatumengambil alih kepimpinan parti menurut proses demokrasi yang diamalkan oleh parti kita,” katanya lagi.
Oleh itu Muhyiddin mencadangkan supaya barisan kepimpinan kanan parti bermusyawarah terlebih dahulu untuk memastikan tokoh-tokoh yang berpengalaman luas yang ada bersama Bersatu dapat berperanan dengan sewajarnya bersama kepimpinan baru parti.
Ia penting bagi memastikan kekuatan parti dapat digembleng dengan lebih jitu di masa depan.
Katanya lagi, perhimpunan agung kali ini merupakan yang terakhir buatnya berdiri di pentas berkenaan sebagai presiden Bersatu.
“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang saya memimpin parti.
“Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik. Saya berdoa mudah-mudahan dengan kesatuan hati dan semangat setiakawan yang tinggi dalam kalangan barisan kepimpinan dan ahli-ahli Bersatu proses peralihan kepimpinan parti akan berlangsung dengan penuh tertib dan harmoni,” katanya lagi.















































Discussion about this post