Pendakwah Dr Zakir Naik hari ini mengumumkan untuk menyumbang sepenuhnya duit kemenangan dalam kes saman fitnah membabitkan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy RM1.52 juta kepada Palestin.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Mahkamah Tinggi kerana memerintahkan Ramasamy membayar RM1.52 juta atas dakwaan fitnah.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mahkamah Tinggi Malaysia kerana mengarahkan Ramasamy membayar RM1.52 juta sebagai ganti rugi fitnah.
“Saya ingin menderma jumlah penuh, iaitu RM1.52 juta kepada Palestin. Saya berdoa agar Allah SWT menerima usaha kecil ini,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Semalam, Mahkamah Tinggi memerintahkan Ramasamy yang juga bekas pemimpin DAP membayar RM1.52 juta kepada Zakir dalam masa 30 hari.
Ramasamy selaku defendan perlu membayar ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi teladan RM250,000, ganti rugi teruk RM100,000, pampasan RM100,000 dengan kos sebanyak RM70,000.
“Saya berdoa agar Allah SWT mengurniakan ketabahan dan kemenangan kepada perjuangan Palestin.
“Semoga Allah SWT meringankan penderitaan saudara kita di Palestin, menguatkan mereka dalam melawan pihak yang menindas dan memasukkan syuhada mereka ke darjat tertinggi di syurga-Nya, amin,” katanya.
Malaysiakini hari ini melaporkan Ramasamy memohon sumbangan orang ramai bagi membayar kepada Zakir.
Sehingga kini tabung yang dilancarkan bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu telah berjaya mengumpul lebih RM200,000.

















































Discussion about this post