Kerajaan bersetuju untuk menamatkan sepenuhnya subsidi dan kawalan harga ayam bermula pada 1 November ini selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa.
Bagaimanapun subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A,B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.
Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, sejak Februari 2022, Kerajaan menanggung RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam.
“Rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi di mana pada ketika ini yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
“Penamatan harga kawalan ayam juga menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan. Dis samping itu, melalui kaedah ini kerajaan akan turut dapat meningkatkan pelbagai inisiatif sosio-ekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai.
“Penamatan subsidi ayam ini telah mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling,” kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang akan diapungkan terus berada pada kadar yang munasabah.
Katanya, kerajaan juga meluaskan akses kepada bekalan ayam melalui Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara bagi memberikan pilihan dan jaminan kepada rakyat.
Melalui sesi libat urus bersama pemain industri pada 22 Oktober lalu, kerajaan telah mendapatkan komitmen daripada pihak industri supaya harga ayam di ladang yang dikeluarkan tidak mencatatkan kenaikan yang ketara sehingga membebankan pengguna.
“Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi memastikan tiada aktiviti pengambilan untung secara berlebihan dan manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggung jawab di peringkat runcit.
“Kerajaan juga bersedia untuk mendapatkan bekalan tambahan daripada sumber luar, jika terdapat kekurangan daripada segi bekalan yang menyebabkan kenaikan harga secara mendadak.
“Selain itu, kerajaan akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan status bekalan dan harga ayam di ladang berada dalam keadaan stabil dan tidak membebankan rakyat, serta tidak berlaku sebarang aktiviti pencatutan di sepanjang rantaian bekalan,” katanya.
















































Discussion about this post