Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bandar Tun Razak membuat laporan polis terhadap tiga pengguna media sosial yang didakwa memuat naik hantaran berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ketua Wanita KEADILAN Cabang, Jamilah Syed Mohamed di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini berkata, hantaran yang dibuat di media sosial itu jelas berniat jahat untuk menyebarkan fitnah dan memberi gambaran seolah-olah isteri Perdana Menteri itu menyokong Israel.
“Saya berharap agar pihak berkuasa dapat melakukan siasatan secara terperinci dan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas dan tangkapan berlandaskan undang-undang negara.
“Video seperti ini boleh menjatuhkan reputasi Ahli Parlimen Bandar Tun Razak sebagai isteri Perdana Menteri dan juga reputasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Semalam, tiga pengguna media sosial memuat naik gambar dan video Dr Wan Azizah yang disunting daripada Instagram milik Perdana Menteri Israel semasa hadir ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, Amerika Syarikat, pada 21 September lepas.
Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam kenyataan pada Isnin berkata, perjumpaan berkenaan didakwa kononnya dianjurkan oleh isteri pemimpin Israel serta fitnah lain yang sengaja ditimbulkan menerusi platform media sosial.
“Bagi menolak perbuatan fitnah secara melampau, AMK akan membuat laporan polis terkait usaha pihak yang tidak bertanggungjawab memutar belit demi mewujudkan sangkaan jahat terhadap pendirian kerajaan dan pemimpinnya terhadap perjuangan rakyat Palestin dan Hamas.
“AMK menempelak cubaan fitnah mengaitkan Wan Azizah dengan perjumpaan yang kononnya dianjurkan oleh isteri pemimpin Israel berserta fitnah-fitnah sisipan lain yang sengaja ditimbulkan.
“Kecenderungan beliau (Wan Azizah) terhadap perjuangan rakyat Palestin dan Hamas hakikatnya tidak boleh dipertikaikan apabila pemimpin Hamas sendiri datang berkunjung ke pejabatnya sewaktu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, di samping kenyataannya yang tegas terhadap penubuhan negara Palestin sehingga kini,” katanya.















































Discussion about this post