Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dan interaksi bersama 15 syarikat terkemuka Amerika Syarikat (AS) yang tersenarai dalam Fortune 500.
Ia termasuk Airbnb, Amazon, AWS, Boeing, ConocoPhilips dan Kimberly-Clark.
Perjumpaan itu berlangsung pada hari kedua lawatan kerja Perdana Menteri ke New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-78.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kesempatan itu digunakan sepenuhnya untuk berkongsi Kerangka Ekonomi MADANI yang disokong Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta Kajian Separuh Penggal RMK-12.
Katanya ia akan menjadi panduan dalam mencapai matlamat pembangunan negara.
“Saya juga hargai maklum balas positif dan input-input membina yang dikongsikan oleh syarikat-syarikat ini.
“Peranan Majlis dan Dewan Perniagaan seperti US-ASEAN Business Council (USABC) dan United States Chamber of Commerce (USCC) sebagai medium antara kerajaan dan komuniti perniagaan merupakan pemangkin kepada kejayaan pelaksanaan inisiatif-inisiatif kerajaan yang akhirnya bermanfaat untuk rakyat,” katanya.
Perdana Menteri berkata, AS merupakan rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar sejak tahun 2015.
Dari segi pelaburan dalam sektor pembuatan, katanya, Malaysia menerima pelaburan masuk langsung (FDI) dari Amerika Syarikat dari Januari hingga Jun 2023 sebanyak RM1.84 bilion (USD395 juta) dan pelaburan ini telah menyumbang sebanyak 1,558 peluang pekerjaan.
“Semoga Malaysia mampu menarik lebih banyak pelaburan baharu daripada syarikat-syarikat gergasi AS,” katanya
















































Discussion about this post