Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada jam 8 malam, esok.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dikatakan sudah menyenarai pendek tiga daripada enam nama sebagai calon PRK itu.
Menurut laporan akhbar SuaraTV yang memetik sumber berkata, tiga nama yang disenarai pendek itu antaranya ialah, Ahli Jawatankuasa Umno Bentong Datuk Jamaludin Buyong, Pemangku Ketua Umno Bentong Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh dan Ketua Penerangan Umno Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam.
Datuk Jamaludin, yang juga anak kelahiran Bentong merupakan bekas Pemangku Pengarah Urusan TRIpic Berhad.
Usahawan berusia 60 tahun itu pernah menyandang jawatan Pengarah Eksekutif Puncak Niaga dan kini merupakan seorang Ahli Majlis Perbandaran Bentong.
Selain itu, yang turut disebut-sebut ialah, Datuk Amizar Abu Adam, 50, seorang pemegang Ijazah Sarjana Strategy & Leadership Management dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Amizar yang merupakan mantan Biro Ekonomi Pemuda Umno Malaysia juga merupakan anak tempatan iaitu dibesarkan di Felda Chemomoi di kawasan DUN tersebut.
Dalam pada itu, nama Datuk Seri Mohamad Zaini juga antara yang dikatakan dalam senarai pendek calon DUN Pelangai.
Berumur 65 tahum, Mohamad Zaini aktif dalam politik dan pernah memegang beberapa jawatan seperti Exco Pergerakan Pemuda Umno, Ketua Pergerakan Umno Negeri Pahang sekitar tahun pada tahun 1998 sehingga 2021.
Majlis pengumuman calon dan majlis pelancaran jentera untuk PRK itu dijangka diadakan bersama dalam satu majlis di Dewan Umno Bentong.
DUN Pelangai yang bersempadan dengan Negeri Sembilan dan terletak bawah Parlimen Bentong bersama DUN Ketari, DUN Bilut, dan DUN Sabai itu mempunyai lebih 16,400 pemilih berdaftar dan mempunyai beberapa penempatan Felda.
PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
















































Discussion about this post