Malaysia dan China setuju untuk mengadakan komunikasi berterusan dan terbuka berkaitan isu Laut China Selatan.
Ia bagi memastikan situasi di lapangan sentiasa aman, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, isu Laut China Selatan adalah antara perkara dibincangkan semasa perjumpaan dengan Premier China Li Qiang semalam.
Anwar berkata, Li juga menzahirkan sokongan terhadap ASEAN Centrality dalam menangani isu keselamatan antarabangsa di rantau ini.
Selain itu, China juga menyokong blok ASEAN yang bebas, termasuk mengenai isu perseteruan di antara Amerika Syarikat dan China.
Anwar menjelaskan dalam pertemuan itu, beliau turut mengutarakan mengenai situasi Myanmar dan isu penghantaran balik pelarian Rohingya.
“Premier Li telah menghuraikan konsep ‘community for a shared future for mankind’ – yakni konsep menekankan prinsip keterbukaan, peradaban, keterangkuman, dan saling hormat-menghormati dalam menangani isu kerjasama dua hala, serantau dan antarabangsa.
“Nilai ini konsisten dengan nilai yang terdapat dalam Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Kenyataan itu bersempena lawatan kerja Anwar di Nanning untuk menghadiri China-ASEAN Expo ke-20.
Anwar turut berkata secara amnya Malaysia menyokong nilai universal dalam membasmi kemiskinan, memperjuangkan keadilan dan pembangunan mampan.

















































Discussion about this post