Enam tuduhan pecah amanah terhadap harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion dihadapi Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah akan mula dibicarakan pada 4 Jun tahun hadapan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan selama 30 hari dalam bulan Jun dan Julai selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.
Prosiding sebutan kes itu pada hari ini tidak menyebut langsung mengenai representasi kedua dimohon Najib dan Irwan Serigar supaya Jabatan Peguam Negara mengkaji enam tuduhan dihadapi mereka, lapor BH Online.
Tarikh perbicaran itu adalah 4 hingga 6 Jun, 10 hingga 13 Jun, 19 hingga 20 Jun, 24 hingga 27 Jun, 2 hingga 4 Julai, 9 hingga 11 Julai, 15 hingga 18 Julai, 22 hingga 25,Julai dan 29 hingga 31 Julai 2024.
Pada 25 Oktober 2018, Najib, 68, dan Mohd Irwan Serigar, 64, mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Mereka dituduh melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

















































Discussion about this post