Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyarankan Kerajaaan Perpaduan supaya membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara.
Ia susulan keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
“Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan…Alang-alang membebaskan Zahid, bebas Najib sajalah.
“Sekurang-kurangnya dia (Najib) ada nilai tambah kepada PH-BN. Berbanding bosku dengan Zahid yang akan bagi nilai tambah kepada PH-BN ini untuk mengekang gelombang-gelombang hijau ini semua adalah Najib,” katanya pada sesi podcast Keluar Sekejap yang disiarkan hari ini.
Pada 4 Sept, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.
“Mahkamah ini membuat keputusan untuk melepaskan tanpa membebaskan. Sebelum saya tangguhkan, saya ingin menyatakan di sini bahawa, apa sekalipun kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah untuk memulakan dan menarik balik pertuduhan pada bila-bila masa sebelum penghakiman dibuat, tidak boleh dipersoalkan.
“Andainya pihak pendakwaan memutuskan dalam masa terdekat bahawa mereka tidak akan meneruskan pendakwaan, bahawa banyak masa kehakiman yang barharga akan terbuang di samping membazirkan banyak wang pembayar cukai, dan dengan ini, mahkamah ditangguhkan,” kata Hakim.
Sementara itu, regu Khairy dalam podcast itu, Shahril Sufian Hamdan berpendapat tidak mustahil bekas Presiden Umno itu akan dibebaskan.
Katanya Zahid sudah tertentu akan berdepan tekanan daripada penyokong Najib yang akan mendesak supaya bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibebaskan..
Malah kenyataan Shahril disokong Khairy bahawa “perjanjian sulit” antara parti politik Pakatan Harapan (PH) dengan Umno pastinya menyentuh tentang pembebasan Najib.- Malaysiapost

















































Discussion about this post