Seluruh keluarga besar Umno hari ini menzahirkan rasa syukur atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi setelah memberhentikan pendakwaan kesemua baki 47 kes pertuduhan.
Setiausaha Agung Umno Datuk Asyraf Wadji Dasuki dalam satu kenyataan berkata, sejak dari awal lagi parti itu yakin dan percaya bahawa Datuk Seri Zahid adalah mangsa pendakwaan politik yang dilakukan ketika Tun Mahathir dilantik kali kedua sebagai Perdana Menteri ke-7 sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
“Lebih mendukacitakan, kezaliman terhadap Zahid berlaku hanya beberapa minggu selepas Mahathir selaku pengerusi Bersatu waktu itu mengancam supaya presiden Umno membubarkan parti itu dalam pertemuan yang diakui sendiri olehnya dalam satu temuramah media.
“Ini diperkukuhkan lagi dengan pendedahan berani dan berbaur angkuh bekas peguam negara lantikan Tommy Thomas dalam buku memoirnya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang dengan *jelas memperakui terlibat langsung dalam mengatur beberapa pendakwaan terpilih terhadap individu-individu politik berpengaruh bersama Mahathir waktu itu.
“Namun Alhamdulillah, walaupun kedua-dua Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM dikekalkan oleh YAB Perdana Menteri ke-10, akhirnya mereka melakukan keputusan yang betul dengan memberhentikan pendakwaan tersebut.
“Bahkan salah satu daripada sebelas alasan Pendakwa Raya di Mahkamah Tinggi memberhentikan pendakwaan hari ini memperakui bahawa pendakwaan yang dibuat selama ini secara tergesa-gesa sedangkan siasatan tidak sempurna boleh menjejaskan kredibiliti Jabatan Peguam Negara dan SPRM, yang diperlihatkan menjadi alat pembunuhan musuh politik oleh pihak berkuasa,” katanya.
Tambah bekas Ketua Pemuda Umno itu, keputusan yang dibuat oleh mahkamah hari ini menunjukkan penganiayaan yang telah dibuat oleh pemimpin parti musuh terhadap beberapa orang pemimpin parti Umno.
“Dengan keputusan ini, maka semakin jelas kerakusan kepimpinan Tun Mahathir dan Parti Bersatu yang sanggup menganiayai pemimpin-pemimpin Umno termasuklah Presiden Umno dengan memperkakaskan institusi-institusi perundangan di negara ini demi gelojak nafsu dan dendam untuk menghancurkan Umno dan kononnya boleh menggantikan Umno dalam perjuangan Islam dan Melayu di negara ini.
“Besarlah harapan Umno agar titik-titik hitam dalam sejarah perundangan Negara sehingga sistem dan institusi keadilan negara begitu mudah diperalatkan hingga membawa kepada ketidak-stabilan politik negara mestilah dititik-noktahkan,” katanya.

















































Discussion about this post