Bekas Perdana Menteri ke-8 Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dibebaskan daripada empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan jumlah RM232.5 juta yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Presiden Bersatu itu untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya berikutan pertuduhan tersebut adalah cacat, tidak berasas dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.
“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Muhyiddin) untuk membatalkan keempat-empat pertuduhan berkenaan.
“Dengan ini, pemohon dilepas dan dibebaskan,” katanya.
Mahkamah Tinggi kemudiannya memerintahkan Muhyiddin dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan salah guna kuasa itu.
Pada 18 April lalu, Muhyiddin telah memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Dia memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.
Bercakap kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas prosiding, Muhyiddin berkata keputusan hari ini membuktikan dakwaannya bahawa pertuduhan salah guna kuasa itu bermotifkan politik.
“Ia bertujuan untuk menekan saya, tuduhan palsu ini tidak membuktikan apa-apa kesalahan.
“Saya akan turun ke padang dan menjelaskan perkara ini kepada rakyat,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.
“Ini adalah penyalahgunaan proses mahkamah oleh pihak tertentu. Ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya lagi.
















































Discussion about this post