PAS hari ini mencadangkan Menteri Besar bagi negeri Terengganu dan Kedah dikekalkan jika menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan bagi kedua-dua negeri berkenaan.
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kemenangan PRN ini juga akan mengubah gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar bagi negeri Kelantan.
“PAS dengan ini mencadangkan tawaran kepimpinan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran PAS dan Perikatan Nasional bagi Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan mengekalkan Menteri Besar bagi Negeri Terengganu dan Negeri Kedah, tertakluk kepada mandat rakyat dan ampuni perkenan KDYMM Tuanku Sultan kedua-dua Negeri;
“Perubahan gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar sekarang bagi Negeri Kelantan, dengan mengemukakan ‘gabungan’ kepimpinan baharu iaitu seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan ampun perkenan KDYMM Tuanku Al-Sultan Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini.
Perkara itu katanya merujuk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 10 Ogos 2023 di Rusila, Terengganu, yang dipengerusikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Beliau turut menyeru semua pengundi untuk menunaikan tanggungjawab pada Sabtu 12 Ogos 2023, dengan memilih pemimpin yang Prihatin, Bersih dan Berkebajikan dari PAS dan Perikatan Nasional.















































Discussion about this post