Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan dakwaan yang tular bahawa beliau bakal dipecat daripada jawatan itu.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai berniat jahat dan tidak masuk akal.
“Orang Umno dan BN berhati-hatilah kerana mereka nak pecahkan seboleh mungkin sokongan orang Umno dan BN dalam Kerajaan Perpaduan ini,” katanya malam tadi.
Dalam pada itu Mohamad yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau mengingatkan orang ramai tidak mudah percaya spekulasi mengenai Islam dan Melayu akan terancam di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Itu sebab macam-macam kata, Islam terancam, Melayu terancam, macam-macamlah (sedangkan) DAP empat orang sahaja dalam Kabinet. Nak kata Islam terancam, daripada 29 menteri, 19 (daripadanya) Melayu Islam.
“Bahaya bila kita menggunakan isu perkauman dan agama di negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.
“Saya harap orang ramai jangan percaya perkara ini, tidak akan terancam selagi Perlembagaan kita utuh (kerana) nak buat pindaan Perlembagaan mesti melalui Kabinet,” tegasnya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Mohamad menafikan beliau terlibat dan terdapat konflik kepentingan dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS).
“LCS pada 2013, 2014. Masa itu saya belum ada lagi jadi Menteri Pertahanan. Jadi, apa kena mengena saya dengan LCS ini.
“Jangan fitnah, ini tak masuk akal langsung. (Dakwaan terlibat) nak musnahkan karier politik saya, jangan percaya benda macam itu,” tegasnya. – Malaysiapost
















































Discussion about this post