Persatuan Dewan Perniagaan Bumiputera Siam Malaysia (DPBSM) menuntut Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman supaya memohon maaf kepada masyarakat Siam berhubung kenyataannya yang didakwa bersifat tidak sensitif terhadap institusi dan agama Buddha.
Presidennya Datuk Seri Boon Som Inong berkata, kenyataan Syahir yang mendakwa Sami Buddha membenarkan minum arak pada program Debat Model Ekonomi Baharu, menggores hati masyarakat Siam di Malaysia.
“Oleh itu, kami seluruh masyarakat Siam yang beragama Buddha kesal dan mengecam kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Pas itu serta menganggapnya keterlaluan, tidak sensitif dan tidak menghormati institusi dan agama Buddha,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Boon berkata, Mohd Syahir wajar menarik balik kenyataannya dan membuat pemohonan maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat Siam di Malaysia.
Beliau berkata, sekiranya Mohd Syahir enggan berbuat demikian pihaknya akan membuat laporan polis terhadapnya.
“Kami berpendapat kenyataan pemimpin PAS itu sebenarnya ialah percubaan untuk mengheret institusi sami dalam kancah politik, sedangkan sami sebenarnya ialah institusi yang suci pada sisi agama Buddha.
“Sehubungan itu, kami menyeru kepada semua parti politik di negara ini supaya memahami kedudukan dan sensitiviti ini.
“Mereka sepatutnya menghormati institusi sami dan tidak melakukan percubaan untuk mengheret institusi ini ke dalam kancah politik,” katanya.
Semalam, Mohd Syahir bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli telah berdebat mengenai hala tuju ekonomi negara melalui satu program debat khas yang berlangsung selama hampir satu jam 30 minit dan disiarkan melalui TV1 dan Astro Awani.
















































Discussion about this post