Cadangan supaya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana penunggang agama telah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, cadangan itu turut dikemukakan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas dibincangkan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Ini bukan soal politik, saya tidak peduli dia sokong apa, parti mana pun tetapi dia tunggang agama, permainkan hukum… memfitnah orang dan fitnah yang besar.
“Nak kafirkan orang yang tak sokong dia (katakan) masuk neraka…musuh Allah. Saya nak beritahu malam ini…kita tidak akan bertolak ansur dengan perkara karut ini.
“Tunggu 12 Ogos, selepas itu apapun keputusan (selepas hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri)…Ini bukan soal politik, saya tidak peduli dia sokong siapa, itu hak dia,” katanya.
Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika berucap pada Grand Finale Kita Selangor, malam tadi.
Beliau berkata cadangan itu adalah bagi mempertahankan kepentingan semua rakyat Malaysia, bukan sahaja buat kaum Melayu.
“Ya kita tingkatkan fahaman Islam, penghayatan Islam. Kita tingkatkan penguasaan Bahasa Melayu dan mantapkan martabat Bahasa Melayu (sebagai) bahasa pengantara dan bahasa ilmu.
“Kita jamin keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dan kita muliakan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
“Tetapi dengar sini baik-baik, jangan kita hina mana-mana anak Malaysia daripada mana-mana kaum…Setiap rakyat, baik Dayak di Kapit, Cina, India beragama Hindu, semua itu warga kita dan mesti kita pertahankan, ” katanya.
Perdana Menteri berkata, ini kerana rakyat daripada semua kaum di Malaysia berhak untuk disantuni dan mendapat pembelaan.
“Ini bukan mainan campur-tolak. Saya sokong orang Melayu dan ini bukan bermakna saya akan singkir orang Cina… Saya tegaskan sekarang, negara ini mesti selamat. Negara ini mesti menyantuni semua rakyat,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN membabitkan enam negeri serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak esok.















































Discussion about this post