Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan akan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan ekonomi negara ini, terutama dalam menghapuskan isu kemiskinan secara menyeluruh.
Katanya, setakat ini beliau dan barisan kabinetnya tidak mahu memberi tumpuan membina mercu-mercu tanda seperti bangunan pencakar langit, jambatan terpanjang dan sebagainya.
“Apa saya peduli dia panggil saya bodoh, penipu, saya tak peduli. Saya akan lakukan sebaiknya untuk rakyat dan ekonomi dan saya yakin boleh.
“Sebab itu saya kata saya tak mahu bercakap soal mercu tanda. Saya tak mahu buat Malaysia terkenal kerana mercu tanda tertinggi, jambatan terpanjang, jalan terbesar, tidak.
“Saya nak yang pertama selesaikan masalah rakyat miskin iaitu noktahkan kemiskinan tegar dan saya arah semua menteri fokus ke arah itu,” katanya dalam Jelajah Perpaduan Madani di Taman Permata Hulu Kelang, malam tadi.
Tambah Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan, beliau dan pasukannya akan memastikan ekonomi negara ini menjadi lebih hebat di Asia Tenggara berbanding tahun 90an dengan mengangkat Ekonomi Madani.
“Kalau tanya Anwar apa cita-cita kamu? kontrak nak beli kapal terbang? tak ada.
“Cita-cita saya dan rakan-rakan sekarang ini nak angkat ekonomi Madani dan angkat balik Malaysia ini lebih hebat dari tahun 90an menjadi negara gagah ekonomi di Asia Tenggara,” katanya.
















































Discussion about this post