Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil hari ini telah mengumumkan pelan Pakej 5G RAHMAH untuk semua dan Insentif Postpaid RAHMAH untuk penjawat awam.
Beliau berkata, bagi Pakej 5G RAHMAH semua rakyat boleh mendapatkan pelan data postpaid 60GB serendah RM60 sebulan, serta telefon pintar 5G serendah RM240.
“Untuk 100,000 pembeli pertama dalam kategori B40 pula akan mendapat telefon pintar 5G tersebut dengan harga lebih rendah iaitu semurah RM120.
“Pakej tersebut akan berada di pasaran bermula pada 31 Ogos 2023 dengan kontrak langganan selama 24 bulan. Pakej ini turut menawarkan tempoh waranti 2 tahun berbanding hanya setahun sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini,
Fahmi berkata, bagi Insentif Postpaid RAHMAH Penjawat Awam, rebat RM10 sebulan akan diberikan untuk mana-mana pakej postpaid sedia ada.
“Ini bermakna, penjawat awam mendapat manfaat penjimatan pakej postpaid sebanyak RM120 setahun. Pakej ini juga akan berkuat-kuasa bermula 31 Ogos 2023,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu kedua-dua pakej itu merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) yang terlibat serta dua (2) syarikat pengeluar peranti iaitu Samsung Malaysia dan Honor Malaysia.
Dalam pada itu, Fahmi berkata pelaksanaan pakej-pakej tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan mengurangkan beban ekonomi rakyat.
Jelasnya lagi, ia sekali gus memastikan rakyat mendapat perkhidmatan internet berkualiti dengan harga berpatutan. – Malaysiapost
















































Discussion about this post