Kerajaan akan membincangkan mengenai isu berkaitan kadar penjawat awam termasuk lepasan ijazah pada mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Gaji dan Pencen Penjawat Awam, minggu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri yang akan mempengerusikan mesyuarat itu nanti.
Beliau berkata, semua perkara yang dibangkitkan sebelum ini akan diambil kira dan dibincangkan secara lebih terperinci dalam mesyuarat berkenaan.
“Semua perkara ini (termasuk gaji lepasan ijazah) kita akan ambil kira dan sudah dijelaskan. Umumnya, kadar upah atau gaji penjawat awam rendah, termasuk polis serta tentera, termasuk yang tidak berpencen.
“Secara tradisi sebelum ini, adalah mengadakan penyelarasan (gaji) setiap 10 tahun. Namun, kini sudah menjangkau 12 tahun jawatankuasa itu tak bermesyuarat.
“Ini semua kita akan masukkan (pada mesyuarat minggu hadapan) dan Insya-Allah (penyelarasan gaji) tertakluk kepada keupayaan ekonomi. Kita naikkan secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM) Ke-16 bertemakan ‘Ketahanan dan Keterangkuman dalam Memacu Pemulihan Ekonomi di Era Ketidakpastian Geopolitik di Butterworth.
Semalam, media melaporkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bimbang melihat kecenderungan gaji permulaan lepasan ijazah di negara ini tidak jauh beza berbanding paras gaji minimum pekerja tidak mahir, iaitu RM1,500 sebulan. – Malaysiapost
















































Discussion about this post