Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor didakwa berada dalam ‘denial syndrome’ (sindrom penafian) berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Sik, Kedah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata selain itu, Muhammad Sanusi juga didapati sudah panik susulan banyak pendedahan berkenaan isu itu dibuat olehnya.
“(Sebahagiannya) sudah disiasat dan sudah ada sabitan. Ia sangat jelas, takkan mahu buat penafian lagi? Ini penyakit ‘denial sindrom’ daripada individu yang semakin terhimpit apabila saya mendedahkan pelbagai bukti saban hari.
“Isunya kecurian REE di Bukit Enggang, Sik di Kedah, membabitkan beberapa nama yang kebetulan membabitkan warga asing.
“Kaedah mereka (suspek) masuk (ke Malaysia) pula, Muhammad Sanusi menulis kepada Kementerian Dalam Negeri supaya dapat pas lawatan ikhtisas dan majikan mereka ialah Perbadanan Menteri Besar.
“Oleh itu jelas, apa lagi yang tak jelasnya? Apa yang Sanusi jawab? Pertembungan Amerika dan China nak merebut, eh ‘come on’ lah, fokuslah. Isu pokoknya adalah kecurian REE di Sik, itu isunya. Pergi sampai Amerika China, ini menunjukkan panik,” katanya.
Beliau mengulas gesaan Muhammad Sanusi supaya Saifuddin mengemukakan bukti mengenai isu kecurian REE ke mahkamah, bukannya di pentas ceramah politik.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, isu kecurian itu hanya akan dibawa ke mahkamah setelah semua siasatan pihak berkuasa selesai dijalankan.
“Nak bawa ke mahkamah, tunggulah. Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum habis siasat. Yang sudah siasat, Jabatan Perhutanan iaitu ada sabitan menceroboh hutan simpan. Yang belum siasat satu saja, pengarah tanah dan galian yang kebetulan kawan baik Sanusi.
“Di bawah Peraturan 168, 169 dan 179 Bab 11 Enakmen Kedah jelas menunjukkan ia adalah bidang kuasa serta kawal selia PTG negeri untuk menyiasat insiden kecurian (REE).
“Ada bahan bukti membabitkan 365 kampit (REE). Kenapa tidak siasat dan Muhammad Sanusi kena jawab. Yang tak siasat itu Pengarah Tanah dan Galian negeri,” katanya. – Malaysiapost
















































Discussion about this post