Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memberi peringatan kepada semua parti supaya tidak mempolitikkan isu kalimah Allah dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menurutnya, peringatan itu turut dizahirkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum berangkat ke London untuk menjalani rawatan baru-baru ini.
Anwar berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyentuh isu kalimah Allah meskipun perkara itu telah ditegah oleh Raja-Raja Melayu.
Menurutnya lagi, Sultan Selangor yang mempengerusikan Majlis Kemajuan Islam (MKI) sebelum berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan telah bertitah supaya isu kalimah Allah tidak dijadikan modal politik.
“Apa yang tukarnya, apa perubahan isu Allah dua tahun lepas dan sekarang, sama. Orang Melayu Islam boleh guna (kalimah) Allah orang bukan Islam tak boleh. Jadi apa salahnya, sebab kita tak saman di mahkamah.
“Dua hari sebelum berangkat ke London, Sultan Selangor sebut lagi pada saya kita ada mesyuarat MKI hujung bulan Ogos kita akan perkemaskan lagi isu kalimah Allah dan pesan baginda jangan jadikan ini isu politik.
“Raja-Raja Melayu pesan jangan jadikan kalimah Allah isu politik, kerana Raja-raja akan perkemaskan …Tapi apa Muhyiddin kata, mereka bangkitkan lagi isu kalimah Allah.
“Jadi mereka ini soal lawan raja terus terang, sebelum ini Sultan Selangor murka sebab seorang menteri besar singgung raja-raja,” katanya ketika berucap pada ceramah di Taman Tuanku Jaafar, di Seremban, malam tadi.
Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin mempersoal kewajaran kerajaan tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes kalimah Allah dalam kes Jill Ireland.
Semasa ceramah di Kapar, Selangor, Ahad lalu, Muhyiddin mendakwa keputusan kerajaan menggugurkan rayuan kes Ireland pada Mei lalu membuktikan bahawa pentadbiran Anwar bersetuju dengan keputusan mahkamah bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh tentang perbuatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mempersenda institusi diraja serta tindakan penyokong PN yang mengolah video Sultan Perak untuk dikaitkan dengan sokongan politik.
Anwar berkata, Sanusi turut mendakwa Yang Di-Pertuan Agong tidak pernah bertitah supaya Kerajaan Perpaduan dibentuk, sedangkan Muhyiddin dengan jelas menolak pembentukan Kerajaan Perpaduan yang disarankan baginda.
“Raja payung negara jangan libatkan mereka dalam kancah politik, Jangan kerana mulut..
“Jangan permainkan kedaulatan raja-raja. Ini menteri besar tu dia kata Agong tak kata pun kerajaan perpaduan,” katanya.
Pada 18 Julai lalu, Muhammad Sanusi dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.
Muhammad Sanusi bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan. – Malaysiapost
















































Discussion about this post