Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada anak muda agar menyemarakkan budaya dan tradisi membaca kerana ianya sebahagian daripada proses pencerahan agar tidak mudah tertipu.
Pada sesi Temu Anwar di Dewan Ibnu Khaldun, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan semalam, Anwar mengajak hadirin untuk mencontohi Saidina Ali Bin Abi Talib dalam menimba ilmu.
“Saya anjurkan anak-anak mesti hidupkan budaya dan tradisi membaca. Membaca ini maknanya bukan menjawab satu masalah yang besar dengan masa dua minit.
“Mesti membaca menggali ilmu. Kata Saidina Ali, ilmu bagi dia laazatulmakrifah, lazat, makrifah maksudnya peringkat yang tertinggi.
“Dia maknanya dia belajar dengan merasa kelazatan dan nikmat menimba ilmu. Jadi saudara, anda tingkatan enam. Jurusan sastera tidak menghalang untuk menguasai ilmu dalam bidang lain,” katanya.
Tambah Anwar, meskipun ketika ini pelajar-pelajar sedang mengikuti pengajian dengan bidang pengkhususan tertentu, ianya tidak menghalang daripada seseorang itu untuk belajar dan mengambil tahu akan perkara-perkara lain.
“Mahu jadi orang cerdik dan pintar tidak mungkin dengan ilmu satu minit, atau dua minit. Dia mesti dengan membaca.
“Jadi kalau tanya saya apa maksud Temu Anwar selalu ini, saya nak ajak anak-anak supaya mengalami proses pencerahan. Menimba ilmu dan cerah supaya kita jangan ditipu.
“Saudara akan dewasa, akan ada keluarga. Sebelum itu ada ibu bapa, dan bagaimana kita mendidik kalau ilmu kita itu terperangkap dengan propaganda yang mungkin akan merosakkan kita,” katanya lagi.















































Discussion about this post