Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa generasi muda mencontohi ketegasan dan integriti bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman ketika memimpin negara.
Anwar berkata, dua sifat itu perlu tersemat di dalam jiwa semua anak-anak muda kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab penting untuk menyelamatkan negara.
“Perkara ini dari negarawan Tun Dr Ismail yang perlu kita pelajari, termasuklah integriti Tun di dalam berpolitik.
“Penting untuk anak muda terpahat dengan prinsip yang sama untuk tangani kebejatan sosial, tentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dengan tatakelola yang baik.
“Perkara ini perlu hidup dalam negara kita, negara akan selamat jika ada integriti, kerana apa, orang tahu kita tidak boleh dibeli, tidak makan pujuk rayu, wang dan harta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Memperingati Negarawan Allahyarham Tun Dr Ismail Al-Haj, Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menyifatkan Tun Dr Ismail sebagai pejuang bangsa dan kebangsaan tulen yang mempunyai dasar dan visi jelas untuk membantu membina negara bangsa terutama pasca tragedi berdarah rusuhan kaum 13 Mei 1969.
“Biarpun Tun ini golongan aristokrat, maknanya beliau rapat dengan istana dan kelas atasan, tetapi tidak langsung beliau pamerkan bila berbicara soal dasar, pembangunan luar bandar dan juga desa.
“Apa yang saya boleh singkap, beliau mempunyai satu dasar yang jelas, iaitu untuk membangunkan negara, memacu pertumbuhan, menyelamatkan negara dan memberi harapan kepada setiap warganegara baik Melayu, Cina, India, di Sabah mahupun Sarawak,” katanya.
Perdana Menteri berkata sambutan yang diadakan bagi mengenang sumbangan negarawan ulung Tun Dr Ismail pada hari ini bukan sekadar satu nostalgia, sebaliknya untuk dijadikan pedoman generasi masa kini.
“Kita nak hidupkan mesej yang Tun Dr Ismail bawa, suara keramat beliau dalam meletakkan asas menyelamatkan negara bangsa… jadi sambutan ini sangat relevan tambahan di dalam bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan media, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju untuk membentuk Kursi Tun Dr Ismail di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurutnya, ia bagi menghargai legasi kepimpinan dan cetusan pemikiran Tun Dr Ismail yang bertunjangkan perpaduan dan integrasi kaum.
“Usaha serta pengiktirafan ini adalah bagi memberi ruang kepada generasi muda dan penerus untuk menyemangati sumbangan pahlawan bangsa dan negarawan ulung Tun Dr Ismail khususnya dalam aspek perpaduan dan penyatuan kaum,” katanya.
Anwar juga berharap semoga lebih banyak penyelidikan dapat diwacanakan dalam pelbagai bidang sosioekonomi, pentadbiran dan kenegaraan dengan adanya kursi itu. – Malaysiapost














































Discussion about this post