Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan akan memastikan cukai yang dikutip tidak akan membebankan rakyat serta dibelanjakan dengan bijak tanpa sebarang ketirisan.
Menurutnya, kerajaan menitikberatkan kesejahteraan rakyat di samping menggalakkan pembayar cukai lebih produktif untuk menyumbang kepada negara.
“Niat kami, sudah tentu, untuk menggalakkan mereka menjadi lebih produktif dan menyumbang kepada negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Percukaian Kebangsaan 2023 hari ini.
Oleh itu, Anwar berkata kerajaan akan mendapatkan input dan cadangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyelaraskan beberapa dasar percukaian atau pengenalan cukai baharu.
Dasar percukaian negara perlu berdasarkan dua prinsip asas, iaitu mengenakan cukai apabila ianya benar-benar perlu dan tidak dianggap sebagai beban kepada pembayar cukai, tambahnya.
“Perubahan yang perlu kita lakukan, termasuklah dalam belanjawan yang akan datang akan dirangka dengan jelas berdasarkan prinsip mengenakan cukai apabila perlu dan tidak dilihat sebagai beban kepada rakyat dan komuniti perniagaan.
“Ini bukan sahaja sebagai ganjaran kepada mereka tetapi pada masa yang sama, memupuk semangat kekitaan atau rasa tanggungjawab terhadap mereka yang sejajar dengan konsep Madani,” katanya.
















































Discussion about this post