Jam 9 pagi hari ini, Khamis, 27 Julai, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meluncurkan satu naratif baharu iaitu Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat.
Sesuatu yang amat dinantikan oleh kita semua. Untuk memahami dengan lebih mendalam, saya meneliti buku Membangun Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh YAB PM pada 18 Januari yang lalu dan juga kandungan dalam website rasmi malaysiamadani.gov.my.
Maaf untuk saya rumuskan bahawa pasukan komunikasi YAB PM perlu mempergiatkan lagi dan menyusun strategi yang lebih berkesan bagi membolehkan Malaysia Madani itu difahami sepenuhnya.

Visi, misi, kerangka, konsep, rukun, objektif, teras, dan keutamaan yang bertindan dan agak mengelirukan dari dua sumber penting ini. Ada persamaan dan perbezaan serta penekanan yang berbeza yang berkemungkinan membawa kepada terjemahan yang berbeza kepada pembaca yang berbeza.
Sangat jelas gagasan Madani ini perlu diberi penjelasan dan kupasan yang lebih mendalam dan mudah difahami oleh setiap lapisan rakyat dari pelbagai sektor masyarakat dan ekonomi.
Gagasan ini perlu juga difahami oleh masyarakat antarabangsa untuk mereka mentafsir halatuju dan pendekatan yang diambil untuk membangunkan Malaysia.
Dalam konteks ekonomi, saya mentakrifkan Malaysia Madani berdasarkan kerangka, keutamaan, perincian dan nada dalam ucapan-ucapan YAB PM. Bukan baharu ini tetapi sejak sekian lama.
Saya cuba menyungkil sesuatu yang pokok. Saya melihat istilah ‘manusiawi’ itu sebagai satu gesaan paling utama. Perencanaan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi mestilah disandarkan kepada kesan akhirnya iaitu kesejahteraan kehidupan manusia serta alam. Ini takrifan saya.

Tiada guna kita meraikan kejayaan pembangunan ekonomi kalau ianya tidak membawa kepada peningkatan kesejahteraan kepada semua. Manfaat pembangunan dan kemajuan mesti dirasai secara hakiki, tidak sekadar pelaporan kejayaan ekonomi atas kertas atau hanya takrifan statistik yang tidak memberi makna dn nilai kemanusiaan.
Pastinya peningkatan kesejahteraan ini juga terpakai untuk alam. Kelestarian alam perlu dipelihara dan tidak terkorban atas alasan mensejahterakan manusia.
Sebagai contoh, merujuk kepada tahun 2016-19, sebelum pandemik Covid-19, adakah pertumbuhan ekonomi yang kita, capai memanfaatkan semua? Adakah seluruh wilayah dan rakyat Malaysia merasai manfaat pertumbuhan ini? Apakah status pembangunan antara negeri-negeri di Malaysia?
Sekitar 62% ekonomi negara (KDNK) terhasil dari hanya 5 lokomotif ekonomi negara-Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

Pertumbuhan ekonomi dan tahap pendapatan negeri-negeri di Malaysia jelas terbahagi kepada 2 kumpulan. Lima (5) lokomotif ekonomi ini dan 9 negeri yang terkebelakang (laggard states).
Pertumbuhan ekonomi dan penengah pendapatan isi rumah di KL dan negeri-negeri ini adalah lebih tinggi dari pertumbuhan ekonomi (4.9%) dan penengah pendapatan negara (RM5,873).
Apa jadi kepada yang negeri-negeri lain? Kesemua 9 negeri yang lain agak terkebelakang. Ada yang ‘jauh’ terkebelakang. Pertumbuhan dan penengah pendapatan isi rumah dikalangan laggard states lebih rendah dari pertumbuhan dan penengah pendapatan isirumah negara.
Jurang pertumbuhan dan pendapatan ini tidak Madani sifatnya. Kita mengharapkan Malaysia Madani akan benar-benar mampu memperkasakan rakaat.
Perencanaan pembangunan dan kemajuan ekonomi mesti dirasai oleh semua ataupun sebanyak mungkin rakyat Malaysia. Semua wilayah mesti membangun dengan kadar yang sesuai bagi mengecilkan jurang pembangunan.
Perlu ada perancangan pembangunan yang lebih bersasar dan berdedikasi untuk wilayah dan negeri yang terkebelakang bagi mengelakkan jurang semakin melebar. Ini Madani. Ini ‘manusiawi’ bagi saya.
Kita menanti naratif Ekonomi Madani sebentar lagi. Bersama kita menyokong dan merealisasikan Malaysia Madani.
Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali
Penulis merupakan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM)
(Artikel ini disiar tanpa suntingan dan tidak semestinya mewakili pendirian 3Sixty)



















































Discussion about this post