Seorang lelaki dipercayai menjadi dalang utama satu rancangan rompakan ke atas rumahnya sendiri di Bentong, Pahang bagi tujuan tuntutan insurans.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, perbuatan lelaki itu terdedah selepas pihaknya menahan dua suspek terbabit jenayah pada 17 Julai lalu di Taman Hijau, Karak.
“Pihak kami menerima laporan mengenai rompakan itu yang dibuat seorang surirumah berusia 42 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada hari Isnin,jam 3.20 petang.
“Dalam laporan dibuat mangsa, dia mendakwa tiga suspek lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang menggeledah rumahnya sebelum melarikan sejumlah barangan kemas dianggarkan bernilai kira-kira RM16,000.
“Suspek kemudiannya dikatakan beredar dari rumah mangsa menggunakan kereta jenis Perodua Alza berwarna putih selepas melakukan jenayah itu.
“Berdasarkan laporan itu, pihak kami dengan kerjasama sepasukan pegawai dan anggota dari bahagian siasatan jenayah IPD Nilai berjaya mengesan dan menahan dua suspek, seorang warga tempatan dan seeorang warga asing di Nilai, Negeri Sembilan jam 9.30 malam, hari sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Zaiham memaklumkan, hasil soal siasat dijalankan terhadap kedua suspek berusia 24 dan 32 tahun itu berjaya membongkar dalang utama kejadian tersebut yang juga merupakan suami kepada mangsa.
“Semua suspek kini ditahan reman sehingga 24 Julai bagi membantu siasatan,” katanya.

















































Discussion about this post