Syarikat SpaceX melalui perkhidmatan satelit Starlink bakal membantu Malaysia menyediakan internet yang lebih laju dan meluas dalam negara terutama di kawasan pedalaman.
Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan mayanya dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk yang berlansung selama kira-kira 25minit bermula 9.30 pagi hari ini.
“Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan pada Jumaat.
Hasil pertemuan maya antara Anwar dan Elon Musk yang juga CEO Tesla Inc itu juga antara lain, Perdana Menteri mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat itu ke negara ini dan juga kesediaan Elon Musk untuk datang ke Malaysia.
“Turut mengucap tahniah dan dokongan Kerajaan atas pembukaan Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor pada tahun ini.
“Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya pada tahun 2050.
“Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Pertemuan sidang video itu selain Anwar dan Elon Musk ia turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
















































Discussion about this post