Pemuda Umno Kapar menyeru DAP supaya mengajak ahli dan pengundi setianya untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Kapar, Mohd Affifi Aris berkata meskipun beberapa pemimpin DAP sudah membuat kenyataan namun ia masih tidak cukup dan mereka perlu memulakan kempen agresif sekarang.
“DAP wajib mengajak ahli dan pengundi setia mereka untuk memberikan kemenangan kepada calon BN.
“Naratif perlu diperbetulkan, bagi membuktikan keikhlasan mereka terhadap penubuhan kerajaan perpaduan hari ini, DAP wajib mulakan kempen yang agresif bermula dari sekarang.
“Kita sedar ada pemimpin DAP telah membuat kenyataan untuk membantu BN, tetapi ia tidak mencukupi.
“DAP perlu membuktikannya melalui tindakan segera dan bukan membiarkan ahli tercari-cari naratif sendiri yang menyebabkan mereka terpedaya dengan dakyah parti lawan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, BN juga memerlukan undi DAP di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.
Katanya, kemenangan PRN amat penting untuk memastikan kelangsungan kerajaan Persekutuan yang berbaki empat tahun lagi sebelum PRU-16 berlangsung.
Beliau turut mengingatkan kepimpinan kerajaan bahawa pemikiran rakyat terhadap UMNO-BN yang ditanam selama ini tidak boleh berubah sekelip mata.
“Ingat, yang terbenam dalam fikiran rakyat terhadap UMNO-BN tidak boleh berubah sekelip mata dalam tempoh kempen PRN nanti kerana ianya disemai, didoktorin serta dimomok sejak berpuluh tahun lalu.
“Pelbagai kempen, tohmahan dan dakyah kepada UMNO-BN setiap kali kempen pilihan raya umum (PRU) menyebabkan pengundi BN merosot bermula PRU-12 (2008) hingga kemuncaknya PRU-14 dan PRU-15 (2022) yang menyebabkan BN gagal menubuhkan kerajaan,” katanya.
Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO menyeru ahlinya menyokong calon DAP bagi memastikan kemenangan pada PRN di enam buah negeri.
Seruan itu menerima reaksi yang pelbagai susulan sejarah perseteruan antara dua parti itu sejak sekian lama.
















































Discussion about this post