DAP meminta Umno supaya tidak lagi mengungkit kisah silam dan menoktahkan segala sengketa supaya dapat terus bergerak ke hadapan bersama Kerajaan Perpaduan.
Menurut, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, parti itu bersama Umno sudah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama sebagai rakan politik baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“Itu pandangan masing-masing, tak mengapa. Dalam ucapan atau perhimpunan, sudah tentu ada banyak pandangan.
“Saya setuju dengan ucapan Presiden Umno supaya lupakan kisah silam dan bersama demi negara. Kita ‘move on’ daripada persengketaan atau permusuhan politik selama ini.
“Kalau kita terus mengungkit kisah lama, ia tidak berkesudahan. Kita sudah bekerjasama lebih enam bulan dan kita sudah ‘move on’ sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Sebelum ini, Pemuda Umno menuntut DAP membuat permohonan maaf atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan kepada Umno sehingga mengguris hati semua ahli parti itu hingga kini.
Mengulas lanjut, Loke berkata, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu menumpukan kepada usaha untuk memperkukuh ikatan kerjasama yang sudah terjalin.
“Tak perlu kita ulas lagi (minta maaf). Kerajaan ini sudah berfungsi dengan baik. Kalau kita terus berpolemik dengan kisah lama, ia tidak akan berkesudahan.
“Apa yang penting hari ini, kita kena tunjukkan komitmen kita untuk bekerjasama. Kita lupakan persengketaan politik. Itu sudah dinoktahkan sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan pada November lalu,” katanya.
Beliau turut meminta semua rakan parti Kerajaan Perpaduan untuk bekerjasama mendepani pelbagai cabaran yang mendatang, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
“Kita ada pelbagai cabaran di hadapan. Ada cabaran politik, enam PRN, cabaran ekonomi dan pembangunan negara dan macam-macam lagi. Semua parti sudah berlapang dada.
“Pimpinan parti masing-masing sudah menunjukkan komitmen tinggi untuk bersama-sama. Pandangan lain itu kita hormati, tapi pimpinan masing-masing sudah ada persefahaman yang begitu jelas,” katanya.


















































Discussion about this post