Seorang ketua polis daerah di negeri Pahang dilapirkan telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Pahang kerana disyaki menerima rasuah dianggarkan lebih RM1 juta sejak tahun 2017 hingga 2022.
SPRM dalam kenyataan berkata, pegawai kanan polis berusia 53 tahun itu disyaki menerima rasuah bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut di sekitar daerah kawalannya.
“Bayaran rasuah ini disyaki bagi melindungi pusat-pusat hiburan dan pusat-pusat urut yang tidak berlesen daripada sebarang tindakan dan gangguan pihak berkuasa,” katanya
Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Amin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut, lapor akhbar tempatan.
“Siasatan dijalankan di bawah seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009,” katanya.
Sementara itu, Polis Pahang mengesahkan penahanan seorang Ketua Polis Daerah dari negeri itu oleh SPRM negeri itu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman, berkata, pihaknya sedia memberikan kerjasama kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.
“Polis Pahang memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan kegiatan salah laku, jenayah atau apa-apa perlanggaran undang-undang membabitkan pegawai polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPRM hari ini memaklumkan seorang Ketua Polis Daerah ditahan SPRM Pahang kerana disyaki menerima rasuah dianggarkan lebih RM1 juta sejak 2017 hingga 2022.

















































Discussion about this post