PUTRAJAYA : Pantauan perlu dibuat oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk sebarang hantaran bernaratifkan kaum dan agama dicetuskan ahli politik seperti didedahkan menerusi kajian Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).
Menegaskan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia perlu diselesaikan segera selaras dengan kajian CIJ yang menyatakan bagaimana orang politik menggunakan isu agama dan perkauman sempit.
“Jadi dapatan kajian oleh CIJ ini memperlihatkan bahawa isu sempit agama, kaum sengaja dibangkitkan untuk kepentingan politik, malah fatwa yang pernah dikeluarkan oleh seorang pemimpin parti politik, mengkafirkan parti politik yang lain atau mengharamkan apa dilakukan oleh ahli sebuah parti, masih tidak ditarik balik.
“Ini mewujudkan perpecahan dalam kalangan pengikut parti yang berbeza tetapi menjadi penganut agama yang sama. Saya harap KKD melalui MCMC harus memantau ‘posting’ dan tulisan yang menjurus ke arah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan sesi libat urus Program TABIKA Pra Tahfiz KEMAS di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut berkata, Kerajaan Perpaduan dianggotai 19 parti politik komited kepada perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita harus bersama, biarpun berbeza parti politik tetapi dalam soal pembangunan sebuah negara bangsa dan menghormati agama lain, kita mesti bersama. Ya kita boleh berbeza pendapat, tetapi kita raikan dengan akhlak yang baik.
“Kami di dalam Kerajaan Perpaduan komited bahawa kepentingan rakyat bukan untuk memanipulasi isu yang akhirnya memecahkan agama dan kaum.
“Kami memberikan keutamaan soal untuk mencerakinkan pertumbuhan ekonomi, memberikan kesejahteraan kepada rakyat, bukan sahaja soal pembangunan malah kerohanian termasuk pendidikan,” katanya.

















































Discussion about this post