Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menegaskan pasukan itu tidak berdepan tunggakan gaji sehingga dua bulan seperti didakwa, sebaliknya berlaku pembayaran gaji yang dibuat secara berperingkat.
Tindakan membuat pembayaran gaji secara berperingkat itu menurutnya akibat daripada prestasi kurang memberangsangkan pasukan itu dalam Liga Super.
“Sebelum ini semua pemain dapat gaji penuh. Benar lambat dan ada bulan bayaran secara berperingkat dalam bulan sama tapi tiap-tiap bulan semua pemain tetap dapat jumlah gaji penuh. Tak benar dua bulan gaji tertunggak.
“Tapi ini bila kekalahan berterusan 10 kali. Saya kata nak gaji penuh April bagilah saya kemenangan. Main betul-betul sungguh. Saya bukan tolak, saya tahan.
“Saya nak cari duit susah. Biarlah rasa berbaloi dengan kemenangan. Kalau tak menang seri pun jadilah. Takdir iya takdir, tapi kenalah usaha lebih,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.
Sementara itu Norizam berkata pihak pengurusan Kelantan FC telah membayar semua gaji pemain dan tiada lagi tunggakan selain baki gaji sebanyak 50 peratus yang ditahan akan dibayar semuanya.
“Untuk perlawanan minggu ini, berikan yang terbaik dan kemenangan. Kalau tak menang usahalah sehabis baik kepada seri. Kalau kalah, biarlah kalah bermaruah.
“Saya telah bayar semua gaji, tiada tunggakan dan saya janji baki gaji yang ditahan 50 peratus semua akan dibayar. Mainlah sehabis baik.
“Saya nak menang sebenarnya. Itu sahaja,” katanya.
Masalah tunggakan gaji yang melanda Kelantan Fc hangat diperkatakan peminat bolasepak di laman sosial susulan pendedahan bekas jurulatih, Choi Moon Sik, dan ejennya, Myeongho Jeong.
Tambah memburukkan keadaan apabila beberapa pemain pula mendedahkan masalah gaji yang belum dibayar sepenuhnya oleh pihak pengurusan.

















































Discussion about this post