Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Bersatu untuk meneruskan tindakan undang-undang bagi membatalkan pembekuan dua akaun parti itu.
Mahkamah juga membenarkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar perintah larangan perjalanan yang dikenakan terhadapnya.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan demikian selepas mendapati permohonan itu bukanlah sesuatu yang remeh atau menyusahkan.
“Terdapat beberapa isu berkaitan pembekuan akaun dan larangan perjalanan yang perlu diputuskan melalui perbicaraan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Pada 8 Mac lalu, Bersatu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman berhubung keputusan pembekuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ke atas akaun bank parti berkenaan dan larangan perjalanan oleh Jabatan Imigresen terhadap Muhyiddin.
Permohonan itu difailkan Datuk Muhammad Suhaimi Yahya dan Muhyiddin bagi pihak parti berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Tetuan Chetan Jethwani & Co.
Menerusi permohonan itu, Bersatu mendakwa tindakan membekukan akaun CIMB Islamic Bank Bhd dan AmBank milik parti itu dilakukan dengan niat jahat.
Menurut dokumen mahkamah, Bersatu mendakwa tindakan itu adalah penyalahgunaan kuasa dan proses undang-undang dalam merencanakan siasatan serta pemangsaan politik terpilih terhadap kepimpinan Bersatu, Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.
Pemohon mendakwa, Muhyiddin turut dikenakan larangan perjalanan untuk mencemar nama baik dan seolah-olah beliau melakukan kesalahan dan akan melarikan diri.
















































Discussion about this post