Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, pelaburan yang sudah dipersetujui antara Malaysia dan China bulan lalu bergantung pada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
“Macam sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pergi ke China (April lalu). Dalam MoU, China akan melabur lebih kurang RM170 bilion.
“Tapi pelabur-pelabur ini tunggu (keputusan) Pilihan Raya Negeri (PRN). Mereka nak lihat Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini dapat sokongan rakyat atau tidak.
“Kalau mereka lihat Kerajaan Perpaduan ini dapat sokongan lebih daripada yang dijangka, kita akan lihat pelaburan (yang masuk) ini cergas lagi masuk selepas bulan Julai dan Ogos yang akan datang,” katanya, memetik laporan akhbar Harapandaily.
Beliau berkata demikian dalam Ceramah Jelajah Madani Kedah peringkat DUN Alor Mengkudu malam tadi.
Pada 1 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia menerima komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion dari pelabur China menerusi lawatan sulungnya ke negara berkenaan.
Ahli Parlimen Kota Raja itu turut menegaskan, kestabilan politik menjadi ukuran utama dalam pertimbangan pelabur serta kerjasama ekonomi dan perdagangan di peringkat antarabangsa.
“Macam sekarang, contohnya, Sudan. Bergaduh dua orang jeneral, jeneral utama dengan jeneral wataniah, berperang dalam malam 27 (Ramadan). Kalau di Malaysia main mercun, sana main meriam betul dan bom. Siapa mahu melabur di Sudan dalam suasana begini (perang)?
“Di Malaysia, ‘perang politik’ menyebabkan pertukaran perdana menteri, bertukar jenteranya dan mengambil masa.
“Sekarang, Alhamdulillah. Kita harap pemerintahan yang ada ini, InsyaAllah kekal sehingga empat tahun setengah akan datang,” kata Mohamad lagi.
















































Discussion about this post