PUTRAJAYA: Tiada logo UMNO atau DAP akan tertera dalam kertas undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menjelaskan perkara itu, ahli Majlis Kerja (MKT) Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hanya dua kumpulan parti terbesar iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan digunakan bagi menentang Perikatan Nasional (PN).
“Apabila kita berada dalam satu pasukan, kita kena tolong menolong, bendera DAP atau logo DAP tak akan ada dalam kertas undi, bendera UMNO pun tiada, yang ada adalah logo-logo PH dan BN. Itu lah hakikat yang ada dalam politik PRN kali ini.
“Itu sebab saya pelik kenapa kenyataan saya diputar belit sedemikian rupa sehingga berlaku polemik yang amat hebat di luar sana sampai saya dikafirkan.
“Jadi saya ingin memberikan kefahaman kepada pengundi bahawa tiada logo UMNO atau DAP dalam PRN kerana kita bertanding berkumpulan dalam kerajaan Perpaduan yang merangkumi 19 parti dengan lima parti utama iaitu BN, PH, GPS, GRS dan Warisan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS), hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan ahli MKT, Isham Jalil bahawa sokongan kepada parti itu akan terhakis jika pemimpinnya terus membuat desakan melampau yang mahu kan ahli mengundi calon DAP pada PRN.
Ahmad dalam masa yang sama tidak mahu perkara tersebut terus dipanjangkan atau dipolemikkan selain meminta para pengundi supaya tidak merasa risau atau khuatir.
“Hanya BN dan PH dalam PRN (akan datang), tiada logo DAP pun (jadi) tiada apa nak dirisaukan. Tidak perlu dipolemikkan perkara ini, saya cakap lain, (berita) diberi tajuk lain,” ujarnya.


















































Discussion about this post