KUALA LUMPUR : Susulan kes yang viral baru-baru ini dikatakan seorang budak kecil telah memijak muka budak lelaki dalam air di Taman Tasik Titiwangsa baru-baru ini, 3sixtynews mendapatkan reaksi daripada ibu mangsa yang juga merupakan wartawan daripada salah sebuah akhbar tempatan.
Katanya, beliau telah mendapat respon daripada ibu kepada budak perempuan tersebut yang tidak mahu dinamakan, dimana pada mulanya wanita tersebut menyatakan rasa kecewa dengan berita yang tersebar mengenai anak perempuannya itu.
Ibu mangsa kemudiannya mempersoal, mengapa beliau pula yang perlu mendengar perasaan tidak puas hati wanita berkenaan, dalam keadaan wanita itu sepatutnya tampil tanpa sebarang persoalan dan hanya memohon maaf di atas apa yang berlaku.
“Saya tanya pada dia, nak DM (direct message) saya ini untuk mohon maaf ke apa? Kalau tak puas hati, directlah pada suami you, tanya apa dia buat sewaktu anak saya dipijak dengan anak dia, kenapa saya pula yang nak kena dengar keluhan dia?
“Kenapa tidak hanya terus minta maaf? Sebaliknya cakap itu dan ini seolah-olah seperti saya yang salah dan dia boleh persoal kembali, ‘kenapa macam ni sekali buat post?’” soalnya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Malah jelas ibu mangsa itu lagi, anaknya kini mengalami trauma akibat kejadian yang berlaku setelah dipijak oleh budak perempuan yang dikatakan berumur lingkungan empat ke lima tahun usianya.
“Daripada saya nak fikir apa yang dia nak luahkan, baik saya fikir apa yang jadi pada anak saya, trauma, takut lagi kejadian itu akan berlaku.
“Cuba kalau kejadian itu jadi pada anak dia, dia pasti akan marah seperti saya, dan lagi membuatkan saya marah apabila bapa kepada budak perempuan itu leka bermain telefon bimbit.
“Tidak perlu lama, kalau 30 saat kejadian itu berlaku tanpa siapa pun perasan, apa akan jadi pada anak saya? Bukankah akan mati? Sebab itu saya tekankan isu ini sebagai peringatan untuk semua ibu bapa di luar sana.
“Bukan pertikai kembali apa yang tersebar,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, beliau berharap kejadian seperti ini tidak berulang kepada kanak-kanak lain yang boleh mengalami nasib seperti anaknya, sekali gus ibu bapa perlu memainkan peranan untuk memantau pergerakan anak-anak khususnya di tempat awam.
“Saya tidak berniat langsung untuk besarkan isu, posting saya di Facebook sebelum ini pun hanyalah sebagai peringatan kepada ibu bapa, tetapi saya tidak menyangka ia akan tular dan mendapat reaksi daripada netizen, mereka juga marah tentang apa yang berlaku.
“Saya hanya berharap, ibu bapa lebih peka selepas ini. Apa yang jadi, saya anggap sebagai pengajaran untuk semua,” jelasnya.
Bagaimanapun, menurut ibu mangsa lagi, ibu si pelaku akhirnya ingin memohon maaf dan cuba menghubungi beliau, namun masih tidak berkesempatan berikutan urusan masing-masing yang tidak dapat dielakkan.

















































Discussion about this post