Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil mencadangkan agar Datuk Seri Najib Razak dikenakan tahanan di rumah, sementara menunggu proses pengampunan diraja terhadapnya selesai.
Beliau berkata demikian kerana menurutnya bekas perdana menteri itu boleh dianggap sebagai tahanan politik berikutan terdapat banyak unsur politik dalam kes SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
“Bila dia masuk penjara, individu berprofil tinggi, unsur politik pun banyak, jadi kita boleh katakan dia tahanan politik. Mungkin boleh diusahakan beliau ditahan di rumah, kita kena usahakan.
“Saya akan cuba sedaya upaya untuk bantu Najib dibebaskan, saya tengok banyak unsur ketidakadilan,” katanya menerusi daripada video yang disiarkan di Facebooknya.
Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.
Pada 31 Mac lalu, Najib gagal memperoleh kebenaran menyemak hukuman dan sabitan itu.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 3 April lalu berkata bekas Perdana Menteri itu akan menggunakan penghakiman menentang oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli dalam permohonan petisyen pengampunan Dirajanya kepada Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, pasukan pembelaan akan menggunakan penghakiman menentang oleh hakim itu dengan menyatakan anak guamnya tidak diberi perbicaraan yang adil.

















































Discussion about this post