Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, isu kalimah Allah tidak wajar diperdebatkan secara terbuka sehingga boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam, memandangkan isu itu juga sudah pun dijelaskan.
Katanya, perkara itu juga sudah dirujuk kepada mufti-mufti serta Raja-raja Melayu selain ketetapan yang telah dibuat berkenaan penggunaan kalimah itu telah dikhaskan kepada umat Islam di Semenanjung Malaysia.
“Maksudnya, umat Islam dalam Semenanjung Tanah Melayu sahaja boleh gunakan kalimah Allah untuk mengelak kekeliruan dan masalah dakyah agama lain. Maka agama lain tidak diizinkan.
“Kemudian untuk Sabah dan Sarawak, ada sedikit kelonggaran dengan syarat-syarat yang ketat supaya tidak timbul kekeliruan.
“(Kalimah Allah) boleh dibahas, tetapi dalam majlis tertutup, tidak patut mengelirukan umat. Tetapi kita masih dituduh menggadai dan mengkhianati amanah rakyat,” katanya pada Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turatih Islami Selangor di Shah Alam, hari ini.
Minggu lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka.
Notis pemberhentian tersebut telah difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 18 April lalu yang seterusnya mendapat pelbagai tentangan pelbagai pihak.
















































Discussion about this post