Bekas Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris menyeru kepada ahli Umno agar memberi undi kepada parti PAS dan Perikatan Nasional (PN) pada mana-mana Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Wan Azri atau Papagomo, membuat seruan tersebut khusus kepada ahli-ahli Umno yang sayangkan parti namun, dalam masa sama terpaksa akur dengan keputusan pihak pimpinan Umno yang menjalin hubungan dengan bekas seteru utama parti itu.
“Ramai tak boleh nak hadam kerjasama yang diputuskan Zahid Hamidi dan mereka juga bukanlah jenis Pak Turut yang menyokong kepimpinan UMNO membabi buta.
“Mereka ini sayang pada UMNO, mereka tak nampak untuk bertukar parti tetapi pada masa yang sama mereka tak selesa dengan keputusan UMNO terutama apabila Mat Maslan suruh ahli undi DAP.
“Apa yang penting adalah kotak undi, bila PRN atau PRU yang akan datang ini terjemahkan nya di dalam kotak undi dengan mengundi PAS dan Perikatan Nasional,” katanya dalam satu catatan hari ini.
Tambah Azri, kebanyakan orang Melayu hari ini telah memilih PAS dan PN sebagai wadah utama bagi menjaga kepentingan bangsa tersebut, berbanding Umno yang kini sudah menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan.
Langkah tersebut juga menurut Azri sebagai mesej kepada kepimpinan Datuk Sri Zahid Hamidi bahawa akar umbi Umno tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh kumpulan pemimpin parti itu.
“Jangan takut pada ugutan ataupun tomahan kerana yakinlah prinsip kita yang menolak DAP dan menggangkat Anwar sebagai Ketua merupakan keputusan yang benar berlandaskan prinsip UMNO yang asal itu sendiri.
“Jadilah sebahagian dari sejarah kebangkitan orang orang Melayu kali ini. Ini peluang untuk akar umbi UMNO merasai penyatuan Melayu sepertimana yang pernah berlaku 1946 dahulu sewaktu UMNO ditubuhkan,” katanya.
Azri telah digantung keahlian selama enam tahun selepas didapati bersalah melanggar perlembagaan parti namun, ketika penggantungan tersebut dibuat tidak dinyatakan secara khusus berkenaan perlanggaran berkenaan.
Perkara berkenaan penggantungan itu dimaklumkan melalui sepucuk surat bertarikh 1 September 2021 dan ditandatangani Setiausaha Agung Umno ketika itu, Datuk Seri Ahmad Maslan.



















































Discussion about this post