Kerajaan Negeri Sembilan berjaya melumpuhkan kegiatan perlombongan nadir bumi dipercayai dilakukan secara haram di Kampung Sikai, Seri Menanti, Kuala Pilah, dekat sini, pada 16 Mei lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kegiatan tersebut berjaya dilumpuhkan hasil daripada maklumat yang diterima melalui aduan yang dibuat kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah.
Susulan itu katanya, pihak berkuasa termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan serta Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka bersama PDRM akan membuat siasatan menyeluruh.
“Hasil siasatan mendapati wujud aktiviti perlombongan dengan menggunakan peralatan yang menjurus kepada perlombongan nadir bumi di atas dua lot tanah.
“Berdasarkan pemerhatian kasar, kaedah perlombongan yang dijalankan menggunakan proses larut resap in-situ (in-situ leaching) iaitu kaedah perlombongan yang tidak memerlukan pembukaan kawasan yang besar untuk kerja-kerja pengorekan dan pengalihan tanah tetapi banyak menggunakan proses kimia.
“Melalui proses berkenaan juga, cecair bahan kimia iaitu amonium sulfat digunakan untuk melarut resap dan mengekstrak nadir bumi dari dalam tanah melalui lubang yang telah digerudi dan disalurkan ke kolam tadahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Aminuddin berkata, beberapa sampel telah diambil oleh Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka untuk analisis makmal.
Beliau berkata, tindakan rampasan ke atas guni-guni yang mengandungi bahan disyaki berkaitan dengan aktiviti perlombongan nadir bumi serta jentera yang digunakan telah dibuat.
“Kawasan terbabit juga telah disita untuk menghalang kerja-kerja perlombongan serta mengelakkan pencerobohan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan bersama-sama agensi berkaitan.
“Selain itu, kerajaan negeri menggesa semua pihak untuk menyalurkan maklumat dan aduan kepada Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Pengarah Tanah dan GalianNegeri Sembilan sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan berkaitan perlombongan haram bagi mengurangkan ketirisan hasil negeri,” katanya.
















































Discussion about this post