PUTRAJAYA : Kerajaan bersetuju mengeluarkan gula putih bertapis jernih yang harganya tidak dikawal, dan harga berkenaan akan ditentukan oleh pasaran.
Permohonan tersebut diberi kepada dua syarikat pengeluar tempatan iaitu syarikat MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR).
Menjelaskan perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah itu adalah sebagai pelan pemasaran mereka untuk terus kekal berdaya saing dan lestari.
“Kerajaan bersetuju dengan permohonan ini kerana gula putih bertapis jernih akan memberikan pilihan kepada pengguna selain gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus).
“Kerajaan juga memberi arahan kepada MSM dan CSR untuk terus mengeluarkan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) pada kuantiti semasa yang mencukupi untuk pasaran runcit pada harga dikawal kerajaan iaitu RM2.85 sekilogram (kasar) dan RM2.95 sekilogram (halus),” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, gula putih bertapis jernih itu akan mula dijual di pasaran bermula hari ini.
Mengulas lanjut, Salahuddin turut menjelaskan berhubung penetapan harga keatas gula putih bertapis jernih dimana ia bergantung kepada syarikat gula.
“Tapi jangan melampau, kerana (kalau melampau) nanti Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan ambil tindakan,” katanya.
Katanya, kerajaan turut meneruskan Ops Manis dalam tempoh sebulan lagi bagi memastikan penjualan gula putih bertapis jernih tidak menjejaskan bekalan gula sedia ada.
















































Discussion about this post