Kemelut dalaman Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bakal memberi kesan terhadap gabungan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin berkata, PAS memandang serius cabaran Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin menggunakan PRN sebagai kayu ukur menentukan sokongan rakyat.
Katanya, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu telah membuktikan BN-Umno merekodkan keputusan terburuk dalam sejarah dengan menang hanya 30 kerusi Parlimen.
“(Sementara) Umno hanya tinggal 28 kerusi dan ini adalah pencapaian terburuk Presiden Umno setakat ini,” katanya menerusi kenyataan.
Khairil Nizam berkata, beliau juga yakin dengan pelbagai isu yang ‘menyakitkan’ rakyat melingkari Kerajaan PH-BN, selain menyebabkan Umno tunduk kepada DAP, akan mengalih sokongan ahli parti itu kepada kepada PN.
“Peralihan sokongan ini juga ditambah dengan perbalahan pembahagian kerusi antara Umnodan DAP dibeberapa negeri hingga ramai ahli Umno kini bertekad menentang Umno secara terbuka.
“PAS yakin kemelut dalaman PH-BN selain kelemahan pentadbiran PMX (Anwar) yang terlalu ketara akan dihukum rakyat dalam PRN ini. Andai PH-BN tersungkur, TPM (Zahid) perlu berundur secara terhormat,” katanya.
Kelmarin media melaporkan, Ahmad Zahid mengajak Muhyiddin menggunakan PRN sebagai platform untuk menentukan tahap sokongan rakyat.
Malah, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu untuk menghadapi PRN tidak lama lagi.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan gabungan parti beliau. Marilah kita sama-sama membuktikan pada keputusan PRN di enam negeri nanti, siapakah yang lebih diterima rakyat,” katanya.
















































Discussion about this post