Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan pernah mengadakan pertemuan bersama Khairy Jamaluddin dan menawarkan bekas Ketua Pemuda Umno itu jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
“Bagi saya semua orang mengharapkan Khairy akan menyertai PN. Dia dah jumpa saya lama dahulu iaitu selepas sahaja dia dipecat daripada Umno. Dia minta jumpa dan saya jumpa dia.
“Kami berbincang secara terbuka hala tuju dia, harapan parti kita. Dia adalah seorang tokoh politik muda yang berkaliber.
“Sebenarnya dia tidak mohon nak masuk, saya tawar dia menyertai (PN),” katanya ketika ditanya mengenai desas desus mengatakan Khairy bakal menyertai PN kerana dilihat menghadiri rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkan beliau baru-baru ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan, tawarannya kepada Khairy masih terbuka dan sempat bertanya mengenai perkara itu dalam pertemuan mereka baru-baru ini.
“Hari itu bila dia datang, saya tanya lagi…Khairy bila lagi (sertai PN), dia beritahu bila datang bertemu saya ini dia berasa ‘cair’, tetapi tidak mengapa, kerana kita tidak menggesa dia.
“Tetapi harapan kami dalam Bersatu, beliau menyertai kita dan membantu kita bagi membina kekuatan parti kita kerana saya fikir semua orang dah tahu apa yang dah jadi dengan Umno ini yang hampir hancur lebur.
“Rumah Umno dah jadi sarang DAP. Ini mungkin menghancurkan harapan sebahagian besar ahli-ahli Umno,” katanya.
Beliau berkata, Bersatu mempunyai hala tuju iaitu memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat Malaysia serta mempertahankan hak masing-masing.
“Kita dah buktikan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dimana gabungan parti Bersatu dan Pas disokong majoriti orang Melayu dan saya jangan akan datang lebih ramai termasuk yang bukan Melayu akan melihat bahawa PN ini parti yang agak terbuka untuk semua,” katanya.
Ditanya sama ada beliau menawarkan posisi atau jawatan tertentu termasuk Menteri Besar jika menyertai PN, Muhyiddin berkata tiada tawaran sedemikian, namun beliau ada menawarkan Khairy kedudukan dalam Majlis Tertinggi Bersatu kerana ada dua kekosongan buat masa ini.
“Saya harap dia faham Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi. Katanya Dewan Undangan Negeri (DUN) akan terbubar pada bulan Jun ini. Jadi kalau Khairy boleh fikir baik-baik, ini mungkin waktu yang terbaik. Namun apa pun terpulang kepada dia.
“Tiada tawar apa-apa dan dia juga ketika itu mengatakan tiada apa-apa tuntutan,” katanya.
















































Discussion about this post