Golongan muda berperanan besar terutama dalam melakar dan mencorak pembangunan negara, ekonomi, sosial dan lain-lain sektor yang penting, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan, belia merupakan tunjang utama dan tulang belakang negara serta berharap golongan itu terus menjadi kebanggaan dan harapan buat negara yang tercinta.
“Hari Belia Negara ini ada kesempatan untuk kita angkat semula martabat belia, memperingatkan mereka adalah pemimpin masa kini dan masa depan.
“Memberi ruang kepada mereka untuk mengemukakan masalah kepada pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam video Ucapan Khas Sempena Hari Belia Negara 2023, hari ini.
Perdana Menteri turut menekankan golongan anak muda mempunyai tanggungjawab untuk menjadi manusia yang berguna kepada keluarga dan negara.
“Kita harus berfikir dan harus menilai serta sedar bahawa untuk menjadi manusia yang berguna kepada keluarga dan negara, kita harus memulakan dengan persiapan keyakinan, ilmu, amal dan tindakan
“Saya percaya kesempatan sambutan ini bukan sekadar sambutan biasa tetapi sambutan yang boleh melonjakkan semangat kita dan memberikan ruang supaya anda dapat bersuara dengan lebih berkesan,” katanya.
Hari Belia Negara disambut pada 15 Mei setiap tahun merupakan satu pengiktirafan yang tinggi kepada seluruh anak muda di Malaysia

















































Discussion about this post