UMNO perlu memperbaharui azam, menggenggam amanah untuk kekal setia mempertahankan warisan perjuangan bangsa, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu berkata, 11 Mei 1946 adalah tarikh keramat yang terpahat dalam lipatan sejarah menyaksikan penubuhan Umno yang kini menjangkau usia 77 tahun.
“Ia menjadi tarikh keramat lahirnya satu wadah buat umat Melayu membina kesatuan, merencana pembaharuan dan mencorak pemikiran demi mengangkat ketamadunan bangsa.
“Inilah ketikanya kita perbaharui azam, menggenggam amanah untuk kekal setia mempertahankan warisan perjuangan bangsa,” katanya dalam hantaran Facebook sempena majlis Ulang Tahun Umno Ke-77 malam tadi.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tarikh penubuhan Umno itu adalah untuk ahli menghayati susah payah generasi terdahulu.
“Inilah saatnya untuk kita tiupkan kesedaran, semangat dan ruh bahawa parti inilah pelopor kesatuan bangsa.
“Umno menjadikan bangsa Melayu bermaruah, merdeka dan berdaulat. Bersama kita mempertahankannya,” katanya.
Terdahulu, Umno menyambut ulang tahunnya yang ke-77 secara sederhana dengan upacara keagamaan di ibu pejabatnya di Menara Dato Onn dan di beberapa lokasi lain secara serentak, malam tadi.

















































Discussion about this post